"Ya Tuhanku,kurniakanlah aku dua mata yang suka berlinang menitiskan air mata sebelum datang saat di mana mata menitiskan darah dan gigi-gigi menjadi bara..
ameen..."
Buat ALLAH yang amat ku kasihi...
Di kala insan lain sedang lena dalam dakapan mimpi, hambaMu yang hina ini bangkit untuk menghadap_Mu Ya Allah. Meskipun diri ini masih dalam keadaan ma’zurah, aku tetap ingin qiyam Ya Allah. Hati ini terlalu rindu untuk merasai kelazatan dan kenikmatan bermunajat kepada_Mu.. Hati ini sudah terlalu jauh dariMu Ya Allah.
Ya Allah yang amat ku cintai...
Aku tak punyai bahasa yang indah untuk digunakan ketika bermunajat ke hadratMu.. Susunan bahasaku sekadar ucapan biasa yang lahir dari hati yang kotor ini dan terucap di bibir.
Ya Allah..
Meskipun begitu,aku tetap berharap agar Kau mendengar rintihan hati ini.. Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar setiap rintihan hamba-hambaMu ini sama ada dizahirkan ataupun tidak.
Ya Allah cinta agungku..
Telah aku terumbang-ambing di lautan kesepian tatkala diri ini benar-benar berjauhan dariMu. Telah aku harungi hari-hariku dalam kegelapan tanpa petunjuk dari_Mu. Hari ini, saat ini.. tiba-tiba hati ini terlalu rindu untuk bertemu dengan_Mu.. Diri ini terlalu mendamba kasih sayang dan pimpinan dari_Mu Ya Rahman. Dosa-dosa yang ku lakukan semalam telah menghitamkan hati ini, hingga payah bagi nur hidayah_Mu untuk menyelinap masuk walau seketika. Hati ini sesungguhnya telah ternoda oleh dosa-dosa semalam. Maka dengan itu Ya Allah.. kurniakanlah aku sekeping hati yang baru sekiranya hati yang kau berikan itu sudah rosak. Berilah daku hati yang sentiasa mengingatimu, yang cepat tersentuh tatkala mendengar kalimahmu.
Ya Allah,aku merindui syahid di jalanmu.. aku ingin kembali pada_Mu dengan hati yang bersih.. membawa bersama kuntuman cinta untukku hadiahkan pada_Mu
Segala perbuatan haram bakal menghalangi do'a.
Pada suatu masa, Nabi Musa 'alayhissalam melihat seorang lelaki mengangkat dua tangannya kerana berdo'a kepada Allah dengan cara yang bersungguh-sungguh. Kemudian itu Nabi Musa sendiri mengadu nasib orang itu kepada Allaj, dengan ujarnya "Hai Tuhan! Hamba Engkau ini memohon kepada Engkau agar Engkau Kasihi akan dia, kerana Engkau Tuhan Yang Amat Mengasihani dari segala yang kasih, maka apakah yang Engkau lakukan pada hajatnya?"
Allah memberi jawapan kepada baginda " Hai Musa! Kalu dia mengangkat kedua tangannya sehingga putus sekalipun Aku tidak mahu memenuhi hajatnya, sehingga dia sendiri memenuhi hak Aku"
Ketika Ibrahim Bin Adham(seorang ahli tasawwuf yang masyhur) berada di tengah-tengah pasar Basrah,beliau dikerumuni oleh orang ramai. Di antara mereka ada yang bertanya:Mengapakah do'a mereka tidak dikabulkan Allah padahal mereka selalu berdo'a kepadaNya? Beliau menjawab: Kerana hati kamu buta disebabkan 10 perkara, iaitu:
1) Kamu mengatakan kamu kenal Allah, tetapi kamu tidak tunaikan haq-Nya.
2) Kamu sangka bahawa kamu cinta kepada RasuluLlah, tetapi kamu tinggalkan sunnah baginda.
3) Kamu telah membaca Al-Quran, tetapi kamu tidak beramal dengannya.
4) Kamu telah menikmati ni'mat-ni'matNya, tetapi kamu tidak mensyukuri ni'mat itu.
5) Kamu mengatakan bahawa syaitan itu musuhmu, tetapi kamu tidak menentangnya.
6) Kamu berkata bahawa syurga itu benar, tetapi kamu tidak beramal untuknya.
7) Kamu berkata bahawa neraka itu benar, tetapi kamu tidak cuba untuk lari daripadanya.
8) Kamu telahpun berkata bahawa mati itu benar, tetapi kamu tidak bersedia untuk menghadapinya.
9) Kamu bangun dari tidur, lalu kamu ceritakan segala ke'aiban manusia lain, tetapi kamu lupa akan ke'aiban sendiri.
10)Kamu telah bersama-sama mengiringi dan mengebumikan jenazah di perkuburan, tetapi kamu tidak mengambil iktibar(pengajaran) daripada mereka.
Wahai manusia yang mengaku bahawa Allah adalah Tuhannya, dan Nabi Muhammad serta nabi-nabi sebelum baginda adalah utusan Allah serta kamu membenarkan risalah Islam yang dibawa, ayuh fikir sedalam-dalamnya adakah kita telah tunaikan haq-Nya? Adakah sudah cukup sekadar melafazkan bahawa Muhammad itu adalah RasuluLlah tanpa kau iringi dengan mengamalkan sunnah baginda?
Memang benar, Allah Maha Mengkabulkan do'a dan Allah Maha Memberi, Maha Kaya, Maha Pemurah dan Maha Pengampun. Jika Allah ingin berikan apa yang kita hajati, Dia berhak dan terlalu mampu untuk berbuat demikian kerana semuanya adalah milik-Nya termasuklah diri kita yang meminta. Namun sahabatku, Allah jua punyai haq-Nya untuk kita tunaikan. Sebagai hamba yang hanya bergantung pada-Nya, kita seharusnya sedar, kita cuma menumpang di dunia ini dan pastinya akan kembali kepadaNya suatu hari kelak.
Seandainya hidup kita sebelum ini dikelilingi maksiat, sedarlah bahawa kita cuma hamba yang mulia kerana izin-Nya, jua tidak mustahil bahawa kita bakal hidup terhina dengan izin-Nya. Segala ni'mat yang Dia berikan, tidaklah diminta walau sedikit bayaran. Betapa pemurahnya Allah. Tetapi pernahkah kita syukuri ni'mat-ni'mat ini?
Mohon kita semua bermuhasabah bersama-sama. Semoga, detik waktu yang kita lalui di saat ini hinggalah ke akhir hayat nanti bakal membuahkan suatu yang terbaik buat kita sebagai bekalan kita menuju alam akhirat sana. Ameen.
Menyingkap tirai hati Mengintai keampunan
Di halaman subur RahmatMu Tuhan
Tiap jejak nan bertapak
Debu kejahilan
Akanku jirus dengan madu keimanan
Tak ternilai air mata Dengan permata
Yang bisa memadamkan api neraka
Andai benar mengalir
Dari nasuha nurani
Takkan berpaling pada palsu duniawi
Destinasi cinta yang ku cari
Sebenarnya terlalu hampir
Hanya kabur kerana dosa di dalam hati
Telahku redah daerah cinta
Yang lahir dari wadah yang alpa
Tiada tenangku temui
Hanya kecewa
MENYELUBUNGI
Ku gelintar segenap maya
Dambakan sebutir hakikat
Untukku semai menjadi sepohon makrifat
Moga dapatku berteduh di rendang kasihMu
YA ILAHI RABBI
Destinasi cinta yang ku cari
Sebenarnya terlalu hampir
Hanya kabur kerana dosa di dalam hati
Ku gelintar segenap maya
Dambakan sebutir hakikat
Untukku semai menjadi sepohon makrifat
Moga dapatku berteduh
di rendang kasihMu
Namun ranjaunya tidak akan sunyi
Selagi denyut nadi belum berhenti
Durjana syaitan kan cuba menodai
SEGUMPAL DARAH BERNAMA HATI
Destinasi cinta Illahi
Lestarikan wadi kalbuku
Oh Tuhanku
Leraikan aku dari pautan nafsu
Biarpun sukar bagiku Melamar redha-Mu
Namun masihku mengharap ampunanMu
Wahai Tuhanku YA ALLAH.......
- Hati mati kerana tidak berfungsi mengikut perintah Allah iaitu tidak mengambil iktibar dan pengajaran daripada didikan dan ujian Allah.
Allah berfirman bermaksud: "Maka kecelakaan besarlah bagi orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya adalah dalam kesesatan yang nyata." (Surah al-Zumar ayat 22)
- Hati juga mati jika tidak diberikan makanan dan santapan rohani dengan sewajarnya. Kalau tubuh badan boleh mati kerana tuannya tidak makan dan tidak minum, begitu juga hati. Apabila ia tidak diberikan santapan dan tidak diubati, ia bukan saja akan sakit dan buta, malah akan mati akhirnya. Santapan rohani yang dimaksudkan itu ialah zikrullah dan muhasabah diri.
Oleh itu, jaga dan peliharalah hati dengan sebaik-baiknya supaya tidak menjadi kotor, hitam, keras, sakit, buta dan mati. Gilap dan bersihkannya dengan cara banyak mengingati Allah (berzikir).
Firman Allah bermaksud: "Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilah! Dengan mengingati Allah itu tenang tenteramlah hati manusia." (Surah al-Ra'd ayat 28)
Firman-Nya lagi bermaksud: "Hari yang padanya harta benda dan anak-anak tidak dapat memberikan sebarang pertolongan, kecuali harta benda dan anak-anak orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera daripada syirik dan munafik." (Surah al-Syura ayat 88-89).
Tanda-tanda hati mati
Menurut Syeikh Ibrahim Adham, antara sebab atau tanda-tanda hati mati ialah:
- Mengaku kenal Allah SWT, tetapi tidak menunaikan hak-hak-Nya.
- Mengaku cinta kepada Rasulullah s.a.w., tetapi mengabaikan sunnah baginda.
- Membaca al-Quran, tetapi tidak beramal dengan hukum-hukum di dalamnya.
- Memakan nikmat-nikmat Allah SWT, tetapi tidak mensyukuri atas pemberian-Nya.
- Mengaku syaitan itu musuh, tetapi tidak berjuang menentangnya.
- Mengaku adanya nikmat syurga, tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya.
- Mengaku adanya seksa neraka, tetapi tidak berusaha untuk menjauhinya.
- Mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa, tetapi masih tidak bersedia untuknya.
- Menyibukkan diri membuka keaiban orang lain, tetapi lupa akan keaiban diri sendiri.
- Menghantar dan menguburkan jenazah/mayat saudara se-Islam, tetapi tidak mengambil pengajaran daripadanya. Semoga dengan panduan yang di sampaikan itu akan dapat kita sama-sama mengambil iktibar semoga segala apa yang kita kerjakan akan diredai Allah SWT.
Menurut Sheikh Ibni Athoillah Iskandari dalam kalam hikmahnya yang berikutnya;
"Sebahagian daripada tanda mati hati itu ialah jika tidak merasa dukacita kerana tertinggal sesuatu amal perbuatan kebajikan juga tidak menyesal jika terjadi berbuat sesuatu pelanggaran dosa. "
Mati hati itu adalah kerana tiga perkara iaitu;
- Hubbul dunia (kasihkan dunia)
- Lalai daripada zikirullah (mengingati Allah)
- Membanyakkan makan dan menjatuhkananggota badan kepada maksiat kepada Allah.
Hidup hati itu kerana tiga perkara iaitu:
- Zuhud dengan dunia
- Zikrullah
- Bergaul atau berkawan dengan aulia Allah